BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, July 21, 2009

TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD




Era

Pada 20 Disember 1925, Encik Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi dikurniakan dengan seorang anak lelaki di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Pada masa itu, mereka telah pun mempunyai lapan orang cahaya mata. Anak bongsu ini dinamakan Mahathir bin Mohamad yang kini dikenali sebagai Tun Dr Mahathir bin Mohamad iaitu Perdana Menteri Malaysia yang keempat mulai 18 Julai 1981.

Asal Usul

Persekolahan Tun Dr Mahathir bin Mohamad bermula di Sekolah Melayu Laki-laki Seberang Perak, Kedah. Kemudian disambung ke Sekolah Inggeris Alor Setar (kini Maktab Sultan Abdul Hamid) di mana ayahandanya, Encik Mohamad bin Iskandar adalah gurubesar sekolah itu yang pertama. Ibunya Wan Tempawan binti Wan Hanafi adalah keturunan Wan Mat Saman, Menteri Besar Kedah yang membina terusan Wan Mat Saman.
Encik Mohamad Iskandar adalah anak Melayu pertama yang menjadi guru besar sebuah sekolah Inggeris pada tahun 1908. Beliau adalah seorang yang tegas dan menitikberatkan prestasi pendidikan yang tinggi di kalangan anak-anaknya. Sejak kecil Tun Dr Mahathir bin Mohamad dikatakan sebagai seorang yang pasti akan jalan tujunya dan cara mencapai matlamatnya. Secara semulajadi beliau merupakan seorang yang rajin dan mempunyai determinasi untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya.
Tun Dr Mahathir bin Mohamad bersekolah di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum memasuki Sekolah Inggeris Kerajaan di Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Halim. Semasa Jepun memerintah Malaya persekolahannya tergendala dan Tun Dr Mahathir bin Mohamad berkecimpung dalam perniagaan gerai kopi serta menjual buah-buahan dan barangan kraftangan di Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah. Setelah tamat Perang Dunia Kedua, Tun Dr Mahathir bin Mohamad menyambung pelajarannya di sekolah yang sama pada tahun 1945 sehingga Senior Cambridge. Tun Dr Mahathir bin Mohamad kemudiannya pada tahun 1947, melanjutkan pengajian ke King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya, Singapura. Pengalaman berniaga yang dilalui menyedarkan beliau betapa perlunya kemahiran berniaga untuk meninggikan taraf hidup kaum Melayu. Inilah yang mendorong Tun Dr Mahathir bin Mohamad menceburi bidang politik apabila beliau masih di bangku sekolah.
Ketika zaman persekolahan lagi Tun Dr Mahathir bin Mohamad menentang Malayan Union dengan lantang dan menubuhkan Kesatuan Melayu Kedah serta Kesatuan Pemuda Melayu Kedah. Pada tahun 1946, Tun Dr Mahathir bin Mohamad merupakan salah seorang ahli UMNO yang awal dengan kemasukan Kesatuan Melayu Kedah ke dalam UMNO. Dr. Mahathir sejak mudanya adalah seorang yang rajin menulis. Dengan nama penanya 'Che Det' beliau banyak menulis tentang kisah-kisah yang melanda masyarakat Melayu yang tersiar dalam akhbar-akhbar tempatan. Kebanyakan rencana Tun Dr Mahathir bin Mohamad dihantar ke Strait Times dan Sunday Times bertemakan kepahitan hidup masyarakat Melayu. Bakat kepimpinannya terselah semasa menuntut lagi apabila beliau dilantik sebagai Presiden, Penrtubuhan Islam, Kolej Kedoktoran. Tun Dr Mahathir bin Mohamad sering mengikuti perdebatan dan forum dan tidak segan silu menyatakan pendapatnya yang sebenar. Pada tahun 1952, Tun Dr Mahathir bin Mohamad lulus dengan ijazah perubatan MBBS.
Penglibatan politiknya bermula pada tahun 1945 apabila Tun Dr Mahathir bin Mohamad menganggotai SABERKAS. Pada tahun 1946 Tun Dr Mahathir bin Mohamad menyertai pula Kesatuan Melayu Kedah. Apabila Kongres Melayu SeMalaya diadakan pada tahun itu, Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad turut sama dalam peristiwa bersejarah itu dan merupakan salah seorang pengasas UMNO apabila Kongres membuat resolusi untuk menubuhkan UMNO dan membuka keahliannya.
Berkat hasil usaha beliau, Tun Dr Mahathir bin Mohamad mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian di bidang perubatan di Universiti Malaya, Singapura. Semasa di Kolej Perubatan, Tun Dr Mahathir bin Mohamad dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Islam dan Ketua Ridaksi majalah pelajar di Kolej Kedoktoran tersebut. Di sinilah juga Tun Dr Mahathir bin Mohamad bertemu dan kemudiannya berkahwin dengan Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 5 Ogos 1956, dan mereka dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura, dan Mazhar.
Tun Dr Mahathir bin Mohamad menerima Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan pada 1953. Tun Dr Mahathir bin Mohamad seterusnya berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar dan kemudiannya di Pulau Langkawi. Pada tahun 1957, Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad membuat keputusan untuk meletakkan jawatan dan membuka klinik MAHA di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Ini semata-mata untuk membolehkan beliau bergiat dalam politik. Pada masa inilah beliau dikenali sebagai Dr Mahathir.

Peranan Dan Sumbangan

Penglibatannya secara aktif dalam politik bermula pada tahun 1964 apabila Tun Dr Mahathir bin Mohamad dipilih sebagai ahli Parlimen Kota Setar setelah memenangi kerusi kawasan Kota Setar Selatan di atas tiket Perikatan dan mula menempa nama di kalangan masyarakat. Namun dalam pilihan raya umum berikutnya pada tahun 1969 Tun Dr Mahathir bin Mohamad tewas di kawasan yang sama kepada calon PAS. Tun Dr Mahathir bin Mohamad merupakan antara golongan muda yang paling lantang mengkritik pucuk kepimpinan UMNO di bawah Allahyaraham YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj terutamanya selepas trajedi 13 Mei 1969 . Ini akhirnya membawa kepada pemecatan Tun Dr Mahathir bin Mohamad dari UMNO pada tahun 1969.
Semenjak terbuang, Tun Dr Mahathir bin Mohamad menjadi `pemberontak' dalam buangan dan menghasilkan buku ` The Malay Dilemma' yang telah diharamkan pada masa itu. Dalam buku itu, Tun Dr Mahathir bin Mohamad banyak membidas sikap fatalisme masyarakat Melayu yang menyalahkan takdir dan menerima kekalahan dengan pasif. Apabila Allahyaraham Tun Abdul Razak menjadi Presiden UMNO pada tahun 1972, Tun Dr Mahathir bin Mohamad kembali aktif dalam UMNO dan mendapat sambutan yang popular. Kekalahan dan kekecewaan dalam bidang politik tidak pernah mematahkan semangat beliau. Malah mempengaruhi beliau untuk lebih agresif dalam memperjuangkan isu-isu orang Melayu. Populariti Tun Dr Mahathir bin Mohamad jelas apabila beliau memenangi kerusi ahli Majlis Tertinggi UMNO dengan undi tertinggi pada 1972 dan seterusnya sebagai senator pada tahun 1973.
Oleh kerana minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan, Tun Dr Mahathir bin Mohamad dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan Tinggi yang pertama pada tahun 1968, Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Tinggi pada 1972, Member of the University Court and University of Malaya Council, dan Chairman of the National University Council pada 1974.
Sebagai calon Barisan Nasional di Kubang Pasu, Kedah Tun Dr Mahathir bin Mohamad menang tanpa bertanding dalam tahun 1974. Pada 6 Oktober 1974, Tun Dr Mahathir bin Mohamad dilantik sebagai Menteri Pelajaran di dalam kabinet Allahyaraham Tun Abdul Razak. Tindakan pertama beliau adalah melaksanakan Akta Universiti dan Kolej 1974 dengan meletakkan pentadbiran universiti di bawah Kementerian Pelajaran. Pada bulan Jun 1975, Tun Dr Mahathir bin Mohamad menjadi Naib Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri kepada Allahyaraham Tun Abdul Razak. Pada masa itu, beliau juga masih memegang portfolio Kementerian Pelajaran. Dalam satu rombakan kabinet, beliau ditukarkan menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Apabila Allahyaraham Tun Hussein Onn meletakkan jawatan atas sebab kesihatan, Tun Dr Mahathir bin Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang keempat pada 18 Julai 1981. Dalam tahun yang sama Tun Dr Mahathir bin Mohamad menang tanpa bertanding sebagai Presiden UMNO.
Tugas pertama Tun Dr Mahathir bin Mohamad adalah membersihkan dan meninggikan taraf perkhidmatan kerajaan dengan melancarkan kempen Bersih, Cekap dan Amanah. Pengenalan sistem `punch-card' di kalangan pegawai-pegawai kerajaan benar-benar membuka mata masyarakat. Rakyat diberi keutamaan. Tun Dr Mahathir bin Mohamad mendorong rakyat untuk `Pandang ke Timur' untuk mencapai kemajuan dari segi pendidikan, teknologi serta cara berfikir. Malaysia mula menjadi perhatian dunia dengan seorang pemimpin yang berani menyuarakan pendapat walaupun bertentangan dengan pemimpin-pemimpin negara Barat.
Dalam pilihanraya parti 1987, Tun Dr Mahathir bin Mohamad mengalahkan lawannya untuk mengekalkan jawatan Presiden dan pada tahun 1990 dan 1993, sekali lagi Tun Dr Mahathir bin Mohamad menang tanpa bertanding sebagai Presiden parti. Di bawah pentadbiran Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad, parti memerintah Barisan Nasional memenangi Pilihanraya Umum berturut-turut pada tahun 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999.
Keistimewaan
Tun Dr Mahathir bin Mohamad adalah seorang pemikir dan revolusiner. Di bawah pentadbirannya negara telah melalui suatu proses transformasi yang tidak pernah digambarkan sebelum ini. Tun Dr Mahathir bin Mohamad mahu Malaysia menjadi sebuah negara maju dan rakyatnya mampu bersaing di peringkat global.
Hasratnya dijelaskan dalam apa yang dinamakan Wawasan 2020 yang beliau utarakan pada 28 Februari 1991 dengan bermatlamatkan "ke arah pembentukan sebuah negara yang benar-benar maju dalam segala bidang secara seimbang meliputi ekonomi, politik sosial, kerohanian, psikologi dan kebudayaan".
Tun Dr Mahathir bin Mohamad memperkenalkan konsep Persyarikatan Malaysia di mana Malaysia diandaikan sebagai sebuah syarikat dan rakyat adalah pekerja dan pemegang saham. Ini meningkatkan lagi prestasi pekerjaan, pendapatan serta imej negara. Di antara langkah-langkah ke arah mencapai sistem ekonomi perindustrian ini adalah pembangunan sektor industri berat. Salah satu kejayaan industri ini ialah pengeluaran kereta nasional yang kini merupakan kereta yang paling laris di Malaysia (Kereta import dikenakan cukai 100%). Tun Dr Mahathir bin Mohamad juga meningkatkan penyertaan bumiputera dalam pemilikan saham sektor perusahaan dan perdagangan dengan penubuhan Permodalan Nasional Berhad(PNB) dan Amanah Saham Nasional serta Amanah Saham Bumiputera. Harapan Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad adalah menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.
Wawasan 2020 adalah satu penyataan cita-cita. Bagaikan seorang artis, Tun Dr Mahathir bin Mohamad menampilkan satu falsafah yang murni yang kemudiannya disusuli dengan keindahan perlaksanaan. Matlamatnya ialah pembangunan yang berwajahkan kemanusiaan dengan persekitaran yang seimbang.
Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bin Mohamad tidak pernah letih memperkenalkan perubahan. Langkah awalnya setelah menjadi Perdana Menteri ialah memperkemaskan jentera kerajaan dengan menggerakkan kempen 'Bersih - Cekap - Amanah' dan 'Kepimpinan melalui teladan' ke arah menerap nilai kebertanggungjawaban dan etika murni dikalangan kakitangan awam khususnya dan masyarakat amnya.
Tun Dr Mahathir bin Mohamad juga menampilkan 'Dasar Kependudukan 70 juta' ke arah menjadikan Malaysia mempunyai pasaran dalam negara yang mampu menyokong pengeluarannya.

0 comments: